Discaj





Assalamualaikum. Alhamdulillah, kelmarin 1 Disember aku akhirnya dibebaskan. Hahaha. Aku warded bermula dari hari kita semua mengundi, 19 November haritu. Punya lama kena peram dalam hospital. Patutnya tak perlu warded lama pun, tapi sebab aku berak muntah tak berhenti sampai makan pun taknak, doktor peram je aku dalam wad tu.

Hari pertama aku kena peritonitis atau jangkitan kuman dalam perut ni, aku tak rasa sakit langsung. Tak muntah, tapi ada sedikit cirit birit. Tapi aku diamkan saja sebab aku ingatkan kesan dari pengambilan ubat bisacodyl, ubat berak aku tu je. Sebagai pesakit dialisis air, kami memang dipaksa buang air besar sekerap mungkin setiap hari, agar catheter tenckhoff tu dapat berfungsi sepenuhnya. Kalau banyak najis dalam perut, keberkesanan catheter tu akan terjejas dan pengeluaran air akan berkurangan. 

Sampailah hari yang keseterusnya, doktor dah tulis pun surat discaj, misi dah bagi slip ubat utk diambil di farmasi, tiba tiba aku muntah. Banyak sangat, semua yang aku makan, aku keluarkan balik. Aku letih, aku minta misi telefon doktor dan bagitahu aku taknak discaj lagi sebab tak larat. Misi kata okay. Dalam masa 2 ke 3 hari juga aku tak makan, tak minum. Makan nasi semulut, air sekadar untuk telan ubat je. Perut sakit, mual, muntah. Setiap kali lepas telan air atau makanan mesti muntah. 

Aku rasa macam kain buruk dalam tempoh tu haha. Banyak masa dihabiskan dengan baring sahaja. Bangun untuk ke tandas dan solat je. Tapi alhamdulillah, lepas doktor tukar antibiotik aku beransur pulih. Lepas tukar ubat, aku dah boleh jalan ke luar wad. Makan dan minum macam biasa. Sakit perut masih on off, tapi aku rasa okay je sebab aku dah boleh makan dan dah bertenaga. 

Doktor bagi masa tiga hari pulak untuk tengok keberkesanan antibiotik tu. Jadi, sepanjang sakit tu, memang aku tak tinggal dialisis air aku tu. Tak larat sangat aku suruh laki aku tolong buatkan semua. Kalau tak ada orang, aku kena buat sendiri. Masa tu rasa dialisis air ni sangat membebankan sebab aku tak boleh nak rehat, padahal sebelum ni okay je. Haha. Letih kan, macam macam perasaan lah rasa. Cukup tiga hari, doktor bagi keputusan yang kuman aku masih tinggi tapi tak setinggi hari sebelum tukar antibiotik tu, jadi doktor sarankan buang catheter tu untuk merehatkan perut aku dan pasang IJC untuk tapak sementara dialisis darah. 

29 November aku pasang IJC, 30 November aku buang tenckhoff. IJC aku tu doktor arab mana entah yang buat, haritu ramai juga doktor yang ada, ada sabahan, arab ke india aku tak pasti, ada melayu. International betul rasanya Haha. Doktor yang buang tenckhoff pula, jiran rumah umi, berlainan lorong je. Dia pun kenal umi aku. Keciknya dunia. 

Dah balik rumah ni, batuk pula. Agak kurang selesa bagi aku. Bekas jahitan tak sembuh sepenuhnya lagi. Bila batuk rasa terik semuanya. Tak best ye rasanya. Risau kot benang boleh tertetas. Takut. Sakit kena jahit di leher haritu pun aku boleh rasa lagi sikit sikit. Sekarang perut dengan leher rasa pedih pedih nya lagi. Tak sabar nak tunggu sembuh wei. Ahad ni aku dah kena balik Kuantan, dah dapat appoinment untuk jumpa doktor Isnin pagi. 

Semoga Allah permudahkan segala urusan perubatan aku dari awal hingga akhir tanpa sebarang komplikasi. InsyaAllah. Aamin ya Mujib. 

Comments

Popular posts from this blog

No. 1

Happy New Year

Diabetes : Part Two